Sikap = Tahap Kesihatan
Saturday, October 31, 2009Benarkah sikap kita mencerminkan tahap kesihatan kita? Menurut Blum, memang benar bahawa sikap kita mencerminkan tahap kesihatan kita. Daripada teori tahap kesihatan yang dibuat oleh Blum, tahap kesihatan seseorang dipengaruhi oleh 4 faktor iaitu: tingkah laku/sikap (behaviour), keadaan sekeliling (environment), genetik, layanan medik (medical services).
Sebagai contoh, penyakit batuk kering (TB/tuberculosis). Penyakit ini amat dipengaruhi dengan behaviour seharian kita. Untuk memudahkan keadaan, mari kita sama-sama mengenali penyakit ini secara ringkas.
Penyakit tuberculosis ini merupakan satu penyakit yang berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Ia dapat ditularkan melalui saluran pernafasan. Droplet yang tersembur daripada air liur sewaktu penghidap penyakit ini batuk dapat menjangkiti orang lain yang menyedutnya. Faktor keadaan di rumah yang padat serta kurangnya cahaya matahari merupakan faktor yang menggalakkan penyebaran penyakit ini.
Jadi, bagaimana perilaku kita dapat mencerminkan tahap kesihatan kita? Dalam konteks penyakit tuberculosis ini, sikap yang suka meludah merata-rata memainkan peranan penting untuk menyebarkan penyakit ini. Selain itu, kebiasaan kita membersihkan rumah juga memainkan peranan penting. Jika kita rajin membuka tingkap dan membernarkan cahaya UV daripada matahari masuk menerangi rumah, bakteria penyebab tuberculosis dapat dibunuh. Sikap kita batuk tanpa menutup mulut dan tidak membasuh tangan dengan air bersih dan sabun juga memainkan peranan dalam penjangkitan penyakit ini.
Oleh itu, marilah kita berusaha untuk mengubah sikap kita yang masih tidak sesuai atau kurang baik untuk menjamin kesihatan yang baik untuk diri kita dan orang di sekeliling kita.
OLEH: wwwMD

